Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
KIARONG, Khamis, 27 Mei. - Sunat melaungkan takbir dengan suara yang Jahr (nyaring), sama ada di rumah, masjid mahupun di tempat-tempat awam pada malam Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha iaitu bermula selepas terbenam matahari sehingga imam mengangkat Takbiratul Ihram bagi Sembahyang Sunat Hari Raya.
Takbir ini dinamakan sebagai Takbir Mursal dan Takbir Mutlaq iaitu takbir yang tidak terikat dengan waktu selepas sembahyang dan boleh dilaungkan pada bila-bila masa sahaja.
Sementara itu, Takbir Muqayyad ialah takbir yang terikat, iaitu takbir yang dilaungkan sebaik sahaja selesai menunaikan sembahyang fardhu, sunat, tunai ataupun qada. Takbir Muqayyad ini khusus bagi Hari Raya Aidiladha dan bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji.
Acara melaungkan takbir bagi kedua-dua Hari Raya tersebut di Negara Brunei Darussalam bukanlah suatu yang baharu.
Ia telah dipraktikkan di negara ini sejak sekian lama dan menjadi salah satu syiar Islam dalam usaha melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, di samping memberi kesedaran kepada umat Islam agar sentiasa mengamalkan segala suruhan Allah Subhanahu Wata'ala dan menjauhi segala larangan-Nya.
Sehubungan dengan itu, acara Takbir Beramai-ramai Sempena Hari Raya Aidiladha bagi Tahun 1447 Hijrah diadakan malam tadi di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan tumpuan utama di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, di sini.
Hadir bagi menyemarakkan majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abd. Karim, serta pengarah-pengarah, para pegawai kanan dan kakitangan di bawah KHEU dan penduduk sekitarnya.
Majlis diserikan dengan tazkirah disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Awang Muhammad Safwan bin Muhd. Suffian.
Manakala laungan takbir dipimpin oleh para pegawai dan kakitangan KHEU; Pegawai Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong; Jabatanarah Agama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Badan Ugama Islam, Pasukan Polis Diraja Brunei; Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat; Jabatan Penjara; para pelajar dan tenaga akademik Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan KUPU SB; Kumpulan Belia Masjid Senegara; serta para pelajar Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR).
Acara Takbir Beramai-ramai Sempena Hari Raya Aidiladha antara lain bertujuan untuk menghidupkan malam Hari Raya Aidiladha yang disambut pada 10 Zulhijah 1447 Hijrah.
Selain itu, acara tersebut juga merupakan usaha menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam melahirkan masyarakat yang bertakwa, di samping mengajak masyarakat untuk menghayati makna kandungan takbir Hari Raya.
Majlis seumpama ini juga berperanan dalam memupuk semangat hidup berjemaah, mengeratkan silaturahim serta mendekatkan masyarakat dengan masjid.
Pada masa yang sama, ia juga dapat menyemai rasa cinta terhadap rumah Allah Subhanahu Wata'ala sebagai institusi penting yang menjadi harapan kepada agama, bangsa dan negara.
Acara Takbir Beramai-ramai Sempena Hari Raya Aidiladha bagi Tahun 1447 Hijrah dikendalikan oleh KHEU melalui Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.